Inspirasi

Kisah Penggunting Rambut Berjumpa Dengan Tuhan

Oleh Tim Tazkirah  •  31 Dec 2015  •  4 min baca

Pada suatu petang, seorang pelanggan lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?”

Tanya si penggunting rambut. Pelanggan lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…”

Adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!”

Sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.”

Jawab si lelaki itu singkat. Pelanggan lelaki itu pun risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa Dia tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!”

Ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu. Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si pelanggan lelaki itu mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?”

Tanya pelanggan lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?”

Si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?”

Pelanggan lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.”

Si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?”

Tiba-tiba pelanggan lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.”

Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?”

Pelanggan lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.”

Jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. TUHAN ITU ADA. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada.

Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan tuhan.”

Kata lelaki itu. Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui Rasul-Nya dan juga melalui kitab-Nya iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.

Mereka menjauhkan diri dari Allah. Jika manusia mendekatkan diri dengan Allah, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera.

Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

Jawab lelaki tersebut.

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi”

Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya”

Jelas pelanggan lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

#1 Tuhan itu ada. Dia, yakni Allah adalah Tuhan Maha Esa. Dia-lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan Dia tidak sama dengan mana-mana satu pun.

#2 Patuhlah kepada perintah Allah dan jauhilah larangan Allah, kerana pada-Nya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh.

#3 “Aslim, taslam”. Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia dan makhluk yang menghuni bersama manusia akan selamat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami