Keluarga

Dilema Menghantar Anak ke Asrama Penuh, Bersediakah Kita?

Oleh Nazurah Hassan  •  3 Dec 2015  •  3 min baca

Bersediakah Kita Menghantar Anak Ke Asrama Penuh?

Tahukah kita, setakat Julai 2015, Malaysia sudah memiliki 69 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 56 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)?

Begitu banyak SBP dan MRSM dibina di Malaysia bagi mencukupkan permintaan demi permintaan daripada ibu bapa. Sekolah berasrama penuh menjadi antara pilihan popular ibu bapa kerana reputasinya yang cemerlang saban tahun.

Namun, andai kita bersedia, adakah anak kita juga bersedia?

Kita biasa mendengar cerita anak-anak keluar dari sekolah berasrama penuh selepas seminggu dua sesi persekolahan bermula.

Punca utama terjadinya hal ini kerana mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang serba baru. Mereka juga terlalu rindukan keluarga sehingga tidak fokus kepada pelajaran.

Apa pula tindakan kita sebagai ibu bapa?

Faham yang terdapat pelbagai cabaran dan perubahan yang menanti anak-anak sebaik sahaja mereka melangkahkan kaki ke asrama penuh. Lalu, kita sebagai ibu bapa membuat persediaan mantap tanpa dipengaruhi emosi ketika memastikan anak-anak bersedia ke sekolah berasrama penuh.

Antara cabaran-cabaran di asrama penuh dan solusinya:-

1. Minggu Orientasi

Pada minggu-minggu pertama anak dihantar ke asrama, keadaan mungkin bertukar menjadi kelam kabut jika tidak kena gayanya.

Maka, tidak hairanlah ada pelajar yang terus tidak mahu meneruskan sesi persekolahan selepas dua tiga hari bermula. Begitu banyak urusan pendaftaran dan aktiviti sekolah yang dijalankan dalam minggu itu.

Solusi – Persiapkan semua kelengkapan anak-anak termasuklah bekas atau fail khas menyimpan wang, slip-slip, serta resit-resit penting.

2. Jauh dari keluarga

Apabila berjauhan daripada keluarga, emosi anak-anak mudah terganggu. Selain terpaksa menguruskan semua hal sendiri, barangkali mereka berasa kekok bercampur dengan rakan-rakan sebilik.

Solusi – Berikan sokongan moral dengan memberi kata-kata positif semasa anak-anak menghubungi kita. Bersedia meluangkan hujung minggu dengan menziarahi mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali, terutamanya seawal beberapa bulan pertama persekolahan.

3. Rutin Harian yang Padat

Berbanding dahulu, kini jadual harian mereka dipenuhi seribu satu macam aktiviti sukan, akademik, kem motivasi, persatuan, dan sebagainya.

Solusi – Ajar anak-anak pengurusan masa dan mula latih mereka uruskan masa sendiri sebelum mereka ke sekolah berasrama lagi.

4. Kejutan Budaya

Apabila terdedah dengan situasi berbeza, ada yang terlalu ingin ‘menyesuaikan diri’ sehingga terpengaruh dengan rakan-rakan yang dianggap ‘hebat’.

Solusi – Peka pada perubahan anak-anak sama ada secara fizikal atau emosi.

5. Suasana yang Kompetitif

Asrama penuh menghimpunkan semua pelajar cemerlang dalam satu sekolah, jadi persaingan antara pelajar kian sengit.

Solusi – Pupuk semangat juang yang tinggi dan tidak kenal erti putus asa dalam diri anak-anak kita. Pastikan mereka tidak tertekan sehingga takut untuk gagal dan rendah diri apabila tidak mencapai keputusan yang diharapkan.

6. Menghadapi Puak-puak Rakan dan ‘Senior’

Seperti yang digembar-gemburkan media sosial, anak-anak zaman sekarang semakin berani menyebabkan kejadian buli mudah berleluasa.

Solusi – Pesan kepada anak-anak supaya berbuat baik dengan sesiapa sahaja. Namun, apabila berhadapan ancaman dan ugutan, pastikan mereka tahu cara keluar dari masalah melalui saluran betul – bukan menanganinya bersama rakan-rakan lain!

7. Alam Percintaan Remaja

Kalau betul caranya, ‘cinta monyet’ mampu memberi motivasi dalam pelajaran. Tetapi malangnya, lebih ramai yang khayal dan hanyut dalam dunia percintaan. Anak-anak perlukan belaian dan kasih sayang apatah lagi selepas tinggal berjauhan.

Solusi – Pantau anak-anak dan tegaskan hukum agama kepada anak-anak kita mengenai cara terbaik mengatasi hal ini.

Asrama Penuh Bukan Sekadar Laluan Pintas

Kita tidak menafikan kepentingan asrama penuh sebagai suatu laluan pintas kebanyakan pelajar ke universiti. Ia adalah sebuah platform penting untuk mencapai cita-cita mereka.

Walaubagaimanapun, peranan ibubapa mendidik anak-anak tidak harus dipandang remeh. Justeru, ada yang tidak menyedari keghairahan mengejar kualiti pendidikan terbaik sehingga sedikitpun tidak menaruh perhatian pada perkembangan anak-anak.

Sebaliknya, menghantar anak ke asrama penuh harus dillihat sebagai usaha yang lebih mencabar. Ini kerana kita sebenarnya perlu menggandakan usaha supaya kreatif dan bijak memantau anak-anak dari jauh.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nazurah Hassan

Saya seorang surirumah dan penulis topik kekeluargaan. Sedang merantau dan kini menetap di Sarawak.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami