Gaya Hidup, Ibadah

Bicara Tentang Haji & Umrah

Oleh Dr Mohd Asri  •  25 Nov 2015  •  5 min baca

Saya tahu, ramai yang telah menjadikan sumber pendapatan mereka hasil dari pengurusan umat Islam yang menuju ke tanah suci Mekah, juga Madinah.

Tidak salah. Ia satu urusan peniagaan yang halal jika diuruskan dengan betul. Namun, ada beberapa perkara yang perlu untuk saling mengingati.

Ilmu

Antaranya; dalam keghairahan mempromosi syarikat masing-masing, kadang-kadang tidak diberikan perhatian kepada kefahaman dan pegangan jamaah umrah atau haji mereka. Ramai yang kali pertama pergi umrah, kadang-kala masih tidak faham dalam banyak perkara.

Para penceramah umrah atau haji, perlulah membekalkan mereka dengan maklumat yang sahih. Elakkan unsur khurafat, perkara-perkara yang diada-adakan tanpa teladan dari sunnah Nabi s.a.w, ataupun amalan tanpa berasaskan dalil.

Sebagai contoh, ada jemaah yang apabila masuk ke dalam Masjid Haram tidak menunaikan solat tahiyyatul masjid atas alasan Nabi s.a.w bersabda:

“Tahiyyah BaitulLah (Kaabah) adalah tawaf”.

Jadi, apabila mereka tidak mampu untuk tawaf untuk setiap kali masuk masjid, ada yang hanya terus duduk. Padahal, hadis yang dibaca itu tidak sahih. Tiada sumber sanad yang boleh dipegang. Para ulama hadis menghukumnya sebagai palsu, ataupun tiada sumber yang asal (lihat: Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah).

Walaupun, sebahagian mereka menyebut hadis tidak sahih tetapi maknanya sahih, namun andaian itu jika dilihat kepada mereka yang masuk untuk melakukan rukun umrah atau haji, maka apabila sampai ke BaitulLah, perkara yang pertama dilakukan tentulah tawaf.

Kemudian, dia bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim. Adapun, mereka yang masuk ke dalam Masjidil Haram sahaja, maka hukumnya sama dengan masjid lain seperti sabda Nabi s.a.w:

“Apabila seseorang kamu memasuki masjid maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum dia duduk” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Itu hanya satu contoh yang kecil. Di sana ada lagi dakwaan yang tidak berasaskan hadis yang sahih seperti doa khusus ketika berada di bawah pancur (al-Mizab) emas di Kaa’bah. Bahkan ada yang mendakwa jika hujan mandi dari air yang keluar dari pancur emas itu mendapat banyak kelebihan. Padahal tiada satu hadis yang sahih pun tentang itu semua.

Demikian doa khusus bagi setiap pusingan tawaf atau sa’i. Lebih daripada itu, ada syarikat yang menjual alatan khas untuk dipakai oleh jemaah haji dan umrah bagi mengingat mereka doa khas bagi setiap pusingan.

Rasulullah s.a.w hanya menyuruh berdoa secara umum tanpa ditentukan doa khas, kecuali pada beberapa tempat sahaja seperti antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad.

Selain itu, seseorang berdoa apa sahaja hajat yang diingini, tanpa terikat. Namun, oleh kerana ada pihak yang ingin membuat keuntungan perniagaan, mereka menekan hal ini agar buku dan alatan mereka dibeli oleh jemaah.

Atau agar mutawwif akan dapat upah untuk membawa jemaah mengelilingi Ka’abah bagi melaungkan doa-doa khas yang jemaah belum sempat hafal maka terpaksa mengikut mereka.

Padahal, jika mereka bersendirian, lebih khusyuk dan lebih dapat menghubungkan jiwa dengan Allah. Hajat setiap insan tidak sama.

Itu belum lagi kita cerita tentang penceramah-penceramah Indonesia yang diupah yang akan berceramah dalam bas-bas jemaah umrah dan haji, yang sebahagian penceramah itu akan membawa pelbagai kisah yang tiada asal yang sahih, atau ada kepentingan dengan perniagaan khurafat mereka seperti kayu kokka dan seumpamanya.

Justeru, para pembimbing umrah dan haji, tidak boleh hanya berfikir tentang bisness mereka sahaja, tanpa memerhatikan kefahaman yang diberikan kepada jemaah.

Bahkan, sebahagian pembimbing itu perlulah merujuk kepada sumber-sumber yang diyakini, bukan bahan-bahan yang tidak berwibawa. Jika jemaah tersalah kerana mereka, mereka dibimbangi akan termasuk dalam hadis Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. Riwayat Muslim

Tipu

Antara perkara yang sering berlaku dalam pengurusan umrah dan haji ini ialah penipuan. Janji lain, apabila sampai di sana lain. Jemaah membayar wang atas janji yang diberikan.

Ada yang janji tempat dekat dengan masjid, sampai di sana jauh. Ada yang kata cantik tempat tinggal, sampai di sana buruk. Ada yang kata penerbangan terus, tiba-tiba transit berjam-jam, bahkan sehari dua. Ada yang janji sepuluh hari, tiba-tiba jadi sembilan hari.

Wang tidak dikembalikan, atau dibuat gantian lain yang diredhai oleh jemaah. Untuk mengelak dari tuntutan, mereka akan kata “kita kena sabar, ini ujian Allah”. Lebih buruk lagi: “Ini mungkin menebus dosa-dosa kita dulu, maka Allah susahkan kita di sini”.

Menggunakan nama Allah Yang Suci untuk mengambil wang orang secara haram di tanah suci adalah perbuatan yang maha keji. Lebih jelek lagi mereka ini sebahagiannya bergelar ‘ustaz’.

Menggunakan agama untuk menjustifikasikan dosa penipuan atau mungkir janji mereka, amatlah terkutuk. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda kepada para peniaga:

“Sesiapa yang menipu kita, dia bukan dalam kalangan kita” Riwayat Muslim

Itu ungkapan Nabi s.a.w kepada peniaga yang menipu dengan menampakkan makanan yang elok dan menyembunyikan yang kurang elok. Bagaimanalah kiranya jika baginda melihat peniagaan umrah yang mengiklan yang baik, tetapi diberikan yang kurang baik apabila sampai ke tanah suci?

Betapa ramai pengusaha umrah yang bercirikan nifaq atau ada sifat munafik, kerana memenuhi apa Nabi s.a.w sabdakan:

“Ciri munafik itu tiga: apabila bercakap dia bohong, bila diberikan amanah dia khianat dan apabila berjanji dia mungkir” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kadang-kala urusan peniagaan seperti umrah ini boleh mengundang semua perkara ini; bohong, khianat atas amanah wang yang diberikan dan mungkir janji manis yang diucapkan.

Ada yang kata, mereka rela sebab itu mereka pergi dengan kami. Duit dah bayar takkan hendak dikembalikan semula. Saya katakan awas jika hal itu kerana mereka termakan janji dan promosi yang diberikan.

Jika wang diambil, sekalipun dari segi undang-undang memang mereka tidak tuntut atau tidak mampu menuntut, tetapi Nabi s.a.w menyebut perkara yang seperti ini dalam hadis baginda:

“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar.

Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Dr Mohd Asri

Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) merupakan Profesor Madya di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia, bekas mufti Perlis dan pendakwah Islam. Beliau banyak berkongsi pendapat mengenai pelbagai perkara di laman web peribadinya, Minda Tajdid.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami