Asalnya dahulu suami saya tak pandai langsung membaca al-Quran. Malah beliau tak dapat mengenali sesetengah huruf di dalam al-Quran.
Katanya, semasa kecil beliau tak berkesempatan untuk ke kelas agama atau kelas mengaji kerana perlu tolong ayahnya berniaga sayur di pasar. Beliau sering bersedih dan rasa rendah diri bila kami sekeluarga membaca surah Yasin. Beliau akan duduk menjauhkan diri dari saya dan anak-anak, membaca seorang diri dengan sangat perlahan.
Hanya saya yang tahu tentang kekurangan itu. Beberapa tahun lepas, sebaik pulang dari umrah, suami memegang tangan saya dan airmatanya bercucuran. Dia berkata,
Mama, I nak belajar mengaji. I dah cari seorang ustaz untuk datang rumah mengajar. I dah lama nak buat tapi I malu dekat you dan anak-anak, tapi sekarang I nak lawan perasaan malu tu. I dah berdoa dan menangis depan kaabah, I mintak dengan Allah supaya berikan kekuatan untuk lawan rasa malu. Permudahkanlah untuk I untuk membaca al-Quran sebab I nak sangat baca al-Quran.
Saya menangis mendengar kata-kata suami yang penuh ikhlas. Saya peluk suami dan saya katakan bahawa saya sanggat bangga dengan beliau. Jangan sesekali malu untuk berjuang mencari ilmu apatah lagi ilmu Allah.
Keesokkan, saya panggil anak-anak untuk maklumkan hal tersebut. Saya explain supaya anak-anak faham bahawa abah mereka tidak bernasib baik seperti kita yang lain. Kita semua ada pelbagai kemudahan dan berkesempatan untuk ke kelas fardhu ain bagi belajar mengaji. Saya mintak agar anak-anak bagi sokongan. Jangan sesekali pandang rendah dan memalukan abah.
Alhamdulillah, anak-anak sangat memahami. Mulai esoknya, setiap hari pada jam 7 pagi seorang tahfiz muda bermotosikal datang ke rumah selama 1 jam mengajar suami mengenali muqaddam dan seterusnya al-Quran. Mulai hari itu juga saya menyaksikan seorang ‘pelajar’ yang sangat bersemangat.
Dia tidak pernah mahu ponteng, malah jika cikgunya tidak dapat datang maka suami akan menghubunginya melalui telefon. Bergayut dan belajar melalui telefon! Memperdengarkan bacaannya untuk diperbetulkan selama 1 jam!
Di setiap waktu lapannya pula, dia akan mengulankaji pelajarannya dan sayalah menjadi cikgu kedua yang akan membantu mendengar dan membetulkan tajwidnya. Alhamdulillah saya masa kecil dahulu di ajar mengaji oleh ayah yang sangat garang. Kami 12 adik beradik membaca quran dengan lengkap bertajwid.
Ayah mengajar sambil pegang ranting asam jawa. Apabila habis mengaji, luruh semua daun asam jawab kerana dilibas ke badan kami. Sebab itulah dari kecil pun saya dah boleh hafal seluruh surah Yasin tanpa perlu merujuk al-Quran untuk membacanya.
Berbalik kepada cerita suami saya, beliau akhirnya berjaya khatam al-Quran setelah 6 bulan bertungkus-lumus. Subhanallah, mualai saat itu saya memiliki suami yang baru. Di mana hidupnya mula diselimuti ayat-ayat al-Quran, bukan sahaja di rumah malah di dalam kereta. Hanya ayat-ayat suci al-Quran yang dipilih menemani dan menjadi hawa telinganya.
Saya sangat bersyukur kerana Allah telah tunjukkan salah satu kebesarannya. Allah boleh berikan hidayah kepada sesiapa sahaja dan suami saya tergolong di dalam kalangan orang yang beruntung. Alhamdulillah.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.