Suasana kedai yang menjual pelbagai beg sekolah sangat ceria pagi itu. Lagu tema siri animasi Sailor Moon yang berkumandang menambahkan lagi keceriaan kedai tersebut.
“Ayah… tinggal satu sahaja lagi beg itu.”
Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun memandang ke arah beg sekolah berwarna kuning yang mempunyai gambar siri animasi Sailor Moon yang sangat digemarinya.
“Yesung, esok kita dah boleh beli beg itu. $638.80.”
Yung-Go tersenyum sambil mengkhabarkan berita tersebut kepada satu-satunya anak yang dimilikinya.
“Betul ke ayah esok kita boleh beli?.”
Yung-Go mengangguk.
“Yeah! Esok kita kaya.”
Mereka tersenyum senang sambil memandang ke arah beg sekolah berwarna kuning yang mempunyai gambar animasi popular Sailor Moon di dalam kedai tersebut. Kadang kala, dua kali sehari mereka akan berkunjung ke situ untuk melihat beg tersebut dengan niat mahu membelinya.
Namun, sebagai seorang penjaga parking kereta di Pasar Raya Happy Mart, Yung-Go perlu mengumpul duit sebelum mampu membelikan beg sekolah tersebut untuk hari pertama persekolahan Yesung.
Yung-Go juga sebenarnya merupakan seorang lembam fikiran, namun dia merupakan seorang ayah yang sangat bertanggungjawab dan menyayangi Yesung sepenuh hatinya kerana itulah Yung-Go berusaha keras untuk mendapatkan beg sekolah tersebut.
“Ayah! Ada orang ambil beg itu.”
Yesung menjerit apabila seorang lelaki berbadan tegap tiba-tiba sahaja mengambil beg tersebut. Yung-go dan Yesung segera menghampiri lelaki tersebut. Lelaki tersebut memberikan beg itu kepada anak perempuannya.
“Maaf… beg ini kepunyaan Yesung.”
Yung-Go mendekati kanak-kanak yang menggayakan beg kuning idaman Yesung itu sambil cuba mengambil beg tersebut.
“Hey! Kamu ini siapa?”
Ibu kepada kanak-kanak perempuan itu memarahi Yung-Go sambil menepis tangan Yung-Go.
“Maaf… maaf… beg itu kepunyaan Yesung.”
Sekali lagi Yung-Go cuba mengambil beg tersebut.
“Hey! Jangan cuba sentuh dia.”
Ayah kanak-kanak perempuan itu pula menengking Yung-Go dengan angkuh.
“Encik… tolonglah… itu beg anak saya…”
Yung-Go cuba menghulurkan salam kepada ayah kanak-kanak perempuan tersebut. Namun dengan angkuhnya tangan Yung-Go ditepis. Sekali lagi Yung-Go cuba menghulurkan salam sambil ingin meminta simpati agar ayah kanak-kanak perempuan tersebut membatalkan hasrat membeli beg itu.
Namun kali ini Yung-Go ditolak dan dipukul. Ayah kanak-kanak perempuan itu secara tiba-tiba naik berang. Kekecohan berlaku di kedai tersebut hingga menarik perhatian orang ramai.
Yesung menangis sambil berkali-kali meminta maaf kepada ayah kanak-kanak perempuan tersebut dan memintanya agar berhenti memukul Yung-Go. Namun tangisannya tidak diendahkan. Beberapa orang cuba menghentikan tindakan ayah kanak-kanak perempuan tersebut yang mula naik hantu memukul Yung-Go.
Akhirnya selepas dibelasah tanpa mampu mempertahankan diri sendiri, Yung-Go dan Yesung pulang ke rumah dengan rasa hampa. Mereka tidak berjaya memiliki beg sekolah tersebut.
“Ayah… kenapa kedai lain tidak menjual beg tersebut?”
Malam itu Yesung sebelum tidur Yesung dan Yung-Go sempat berbual sambil merenung syiling rumah.
“Ayah… akan cuba juga… untuk beli beg itu nanti ya.”
“Tak apa.”
“Tak apa.”
Yung-Go meniru dialog Yesung
“Jangan paksa diri ya ayah.”
Kata Yesung sambil menatap wajah Yung-Go
“Jangan paksa diri ya Yesung.”
Yung-Go memandang Yesung.
“Jangan tiru ayat saya.”
Kata Yesung sambil tersenyum.
“Jangan tiru ayat saya.”
Yung-Go membalas.
Yesung cuba menggeletek perut Yung-Go. Yu-Go membalasnya. Akhirnya mereka ketawa senang hati. Kasih sayang antara mereka terlalu kuat walaupun Yung-Go seorang ayah yang lembam fikiran dan Yesung seorang anak perempuan yang bijak dan matang.
Akhirnya, malam itu entah jam berapa mereka terlelap juga. Harapan yang dibina oleh Yung-Go, esok dia pasti akan membelikan Yesung beg sekolah Sailor Moon buat Yesung.
Keesokan harinya, ketika Yung-Go sedang menikmati makan tengah hari sambil mengira jumlah wang yang dikumpul di tempat kerjanya, dia dihampiri oleh kanak-kanak perempuan yang membeli beg sekolah Sailor Moon kuning itu.
“Pak cik… Pak cik dah beli ke beg sekolah ni?”
Tanya kanak-kanak perempuan tersebut sambil menunjukkan beg sekolah Sailor Moon yang dipakainya.
“Haa.. Beg Sailor Moon.. Pak cik mesti beli beg itu hari ini.”
Yung-Go berkata sambil bangun dari duduknya.
“Mari saya tunjukkan kedai lain yang menjual beg ini.”
Kanak-kanak perempuan itu mengajak Yung-Go ke sebuah kedai lain yang tidak jauh dari situ.
Ketika dalam perjalanan, mereka melalui lorong-lorong di belakang kedai. Jalan di situ agak basah dan licin. Namun mereka berjalan dengan laju dan seakan-akan berlari anak. Mungkin kerana teruja untuk sampai cepat ke kedai tersebut. Tiba-tiba, Yung-Go terjatuh apabila terpijak salah satu lopak air disitu. Dia menggosok pinggulnya beberapa kali menandakan dia pinggulnya sakit.
“Arghhh!”
Satu jeritan nyaring menangkap di telinganya. Bunyi suara seseorang menjerit tidak jauh dari tempat Yung-Go terjatuh.
Yung-Go segera bangun dan melangkah menuju ke selekoh di hadapannya. Langkahnya perlahan dan berhati-hati. Hatinya penuh dengan rasa bimbang dan cemas. Alangkah terkejutnya Yung-Go apabila mendapati bahawa kanak-kanak perempuan tadi terjatuh dan kepalanya penuh berlumuran darah.
Yung-Go panik! Beberapa ketika kemudian dia cuba mengingati teknik membantu mangsa yang pernah dipelajari ketika menghadiri taklimat keselamatan. Yung-Go cuba membantu kanak-kanak perempuan tersebut.
“Apa kamu buat itu? Tolongggg.”
Yung-Go terkejut. Seorang wanita yang melalui lorong tersebut tiba-tiba menjerit. Yung-Go cuba menghampiri wanita tersebut bagi menerangkan kejadian sebenar. Namun jeritan tersebut menarik perhatian orang ramai untuk mengerumuni kawasan itu.
Di rumah pula, Yesung menanti dengan resah. Berkali dia melihat ke arah jam di dinding.
“Mana ayah ini?”
Hatinya berbisik resah. Hari sudah lewat malam. Namun Yung-Go masih belum pulang.
Yung-Go juga sedang resah. Dia pasti, Yesung sedang merisaukan dirinya. Sudah beberapa jam dia ditahan di balai polis untuk siasatan sejak kejadian pagi tengah hari tadi. Balai Polis Incheon juga sesak dengan kehadiran wartawan yang ingin melaporkan kejadian tersebut.
“Maaf encik… anak saya menunggu saya di rumah. Saya perlu pulang.”
Yung-Go bangun dari duduknya. Namun seorang anggota polis bertindak menghalang dirinya.
Beberapa ketika kemudian datang seorang lagi pegawai polis.
“Kamu mahu jumpa anak perempuan kamu kan?”
Tanya pegawai polis tersebut.
“Ya… anak saya sedang risaukan saya di rumah.”
Yung-Go cuba untuk bangun. Namun dia ditolak dengan kasar. Pipinya ditampar beberapa kali.
“Kalau begitu, esok kita akan ke tempat kejadian itu. Kamu perlu mengaku bahawa kamu menculik kanak-kanak perempuan tersebut dan kamu ingin merogolnya sebelum dia disahkan mati.”
Yung-Go terkedu.
Akhirnya kes ini dibicarakan di mahkamah. Yung-Go mengaku bersalah demi keselamatan Yesung kerana dipukul, dipaksa dan diugut oleh ayah kanak-kanak perempuan itu. Yung-Go juga tidak dibela oleh peguamnya sendiri ketika perbicaraan dilakukan kerana peguamnya telah menerima rasuah agar tidak membela Yung-Go dengan sewajarnya.
Mahkamah juga memutuskan agar Yung-Go dijatuhkan hukuman gantung sampai mati!
Sebuah kisah yang penuh emosi mengenai seorang ayah lembam fikiran yang penuh dengan rasa tanggungjawab dan kasih terhadap anaknya. Seorang saksi yang tidak mengetahui kebenaran kejadian namun memberi keterangan. Seorang pegawai polis yang telah menyalah gunakan kuasanya hingga mengakibatkan seorang lelaki yang tidak bersalah mati di tali gantung.
Seorang peguam yang tidak beramanah dengan tanggungjawabnya hingga membiarkan kes disiasat dalam keadaan bias. Seorang hakim yang telah tersilap menjatuhkan hukuman mati ke atas individu yang tidak bersalah.
Agaknya apa akan terjadi andai semua watak ini dimainkan sebagai perwatakan orang-orang beriman? ‘Miracle in Cell no.7’ sememangnya bukanlah filem yang berkisar mengenai keimanan, namun setelah menontonnya, saya sangat terkesan dengan watak-watak yang tidak memberikan peluang kepada Yong-Go membela diri iaitu watak polis, peguam dan beberapa watak lain.
Hingga akhirnya berulang kali ayat ‘bercita-citalah apa sahaja dengan cita-cita orang beriman’ bermain di fikiran saya kerana watak-watak tersebut merupakan kerjaya cita-cita saya ketika saya kecil dahulu dan saya membayangkan bahawa saya adalah watak-watak antagonis (penentang) filem tersebut.
Hidup ini kita bebas untuk mahu jadi apa dan bagaimana, namun kita juga perlu ingat bahawa kita hanya hamba. Tuhan telah menetapkan segala peraturan hidup dengan indah sekali. Tiap-tiap sesuatu yang diperintah dan dilarang-Nya pasti ada hikmah.
Satu perkara yang saya belajar dari filem ini dan sangat terkesan dengannya ialah jadilah apa sahaja asalkan ada rasa keimanan pada Tuhan.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman” Surah al-Mu’minum, Ayat 1
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.