Wanita

5 Petua Berjaya Dari Wanita Jutawan

Oleh Siti Rahmah  •  22 Jun 2015  •  3 min baca

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.” Al-Mukminun 23:1

Kata Tuhan, orang-orang mukmin itu adalah orang yang berjaya.

Halimah tahu perkara itu dan dia mahu menjadi salah seorang daripada golongan itu. Dia mahu berjaya macam Raihana, pemilik bisnes tudung yang jualannya berjuta-juta yang tinggal di Kuala Lumpur itu.

Butik Tudung

Raihana memiliki perniagaan tudung yang mencatatkan jualan jutaan ringgit.

Sungguh, sudah lama dia tahu pasal maksud ayat pertama surah al-Mukminun itu. Tetapi, dia tidak pernah pasak keyakinan bahawa ia perkara benar yang harus diyakini dan dicapai sepenuh hati.

Rezeki, pada sebuah petang yang damai Tuhan datangkan kesedaran dalam hatinya melalui Raihana, orang hebat yang sudah lama dia mahu contohi kejayaannya.

Wanita yang dia tidak sabar-sabar mahu bertemu mata, selepas mengikuti perkembangan kejayaannya selama dua tahun lewat laman sosial. Seperti orang lain yang mahu tahu rahsia Raihana, Halimah tidak terkecuali.

Lebih beruntung, dia mendapat kesempatan menemui Raihana secara berhadapan di sebuah kedai makan! Tidak mahu melepaskan peluang, Halimah langsung bertanya sebaik memperkenalkan diri,

“Apa rahsia kejayaan puan?”

Raihana tetap duduk dengan tenang dan tersenyum. Selepas memastikan Halimah sudah duduk dengan selesa, dia membalas soalan Halimah dengan sepotong ayat, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.”

Terpana, Halimah memandang wanita berpakaian kemas itu dengan dahi penuh kerutan.

Getusnya, ‘Alamak, macam mana nak panjangkan soalan? Skema jawapan dia susah sangat!’

Tersenyum nipis, Raihana menambah, “Orang berjaya itu adalah orang yang melakukan lima hal dalam kehidupannya.”

Kening Halimah terangkat. Tanpa sedar, dia merapatkan tubuh sehingga lututnya hampir menyentuh lutut wanita bertudung litup itu.

Sambung Raihana tanpa merasa terganggu dengan tingkah Halimah,

“Pertama, mereka solat bersungguh-sungguh. Bagi memelihara khusyuk solat itu, mereka buat perkara kedua iaitu menjaga peribadi dengan menjauhi percakapan dan perbuatan sia-sia.”

Bicara wanita dari Kuala Lumpur itu terhenti dan dia memandang wajah Halimah beberapa ketika. Pada ketika Halimah mahu bertanya, dia terlebih dahulu menyambung,

“Mereka juga memelihara kehormatan diri, menjaga amanah dan janji. Akhir sekali, mereka tidak pernah lupa mahu menjaga sembahyang.”

Laju, pertanyaan Halimah meluncur dari bibir, “Menjaga sembahyang? Bukan mereka sudah solat dengan khusyuk?”

Raihana mengangguk lalu berkata selepas menyisip minumannya yang sudah berbaki di hujung-hujung gelas, “Ya, mereka solat awal waktu. Ia salah satu cara membuka pintu rezeki.”

‘Itu sahaja? Ah, mustahil!’

Kemudian, Raihana memberi isyarat kepada tauke kedai dan mengajak Halimah yang baru mahu melanjutkan tanya bangun. Terpinga-pinga, Halimah mengikut.

Apabila wanita berwajah lembut itu membuka pintu kereta, Halimah mengikut juga sambil memasang wajah bingung. Ketika kereta yang dinaiki membelok ke sebuah bangunan berkubah hijau, dia tetap juga tercengang, tidak mengerti.

Fikirannya penuh dengan tanda tanya,’Mengapa Raihana hanya kongsikan lima perkara itu sahaja?’

Sebaik pintu kereta dibuka, laungan azan Zohor kedengaran dari corong suara masjid. Langsung dia faham. Wanita ini sedang mengotakan apa yang dia bicarakan sejak tadi.

Kata-kata arwah ayah terngiang-ngiang di telinga,

“Pelihara hubungan dan janji kita dengan Tuhan, sebelum kita jaga hubungan dengan manusia.”

Halimah memandang bangunan berkubah itu. Detak hatinya perlahan, mengiyakan bacaan doa Iftitah yang dilafaz setiap hari, ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.’


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Rahmah

Beliau merupakan kolumnis Ruangan Cerpen Majalah Usrati dan usahawan sepenuh masa. Mengusahakan bisnes aksesori sulam secara online sejak 2008 di laman blog ini. Penulis turut aktif menghasilkan karya fiksyen yang diterbitkan di majalah dan antologi cerpen.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami