Gaya Hidup

Putera Idaman Gentleman: Lakonan atau Sejati?

Oleh Ummu Adhya'  •  22 May 2015  •  6 min baca

Prince charming. Rata-rata gadis mempunyai ciri-ciri lelaki idaman mereka yang tersendiri. Tapi, kebanyakannya mengimpikan bertemu sang putera yang gentleman. Bercakap tentang gentleman, bukan setakat gadis-gadis, mak-mak dan makcik-makcik pun ramai yang mengimpikan lelaki gentleman.

Rata-rata gadis mempunyai ciri-ciri lelaki idaman mereka yang tersendiri. [Wanista]

Rata-rata gadis mempunyai ciri-ciri lelaki idaman mereka yang tersendiri. [Wanista]

Buktinya, berapa ramai kaum hawa yang bertepek depan televisyen untuk menonton drama-drama yang dipenuhi hero gentleman olahan sang pengarah. Mesyuarat tingkap esoknya, masing-masing mengadu keterujaan dengan sang hero. Parah lagi sampai memperlekehkan pakcik-pakcik di rumah. Tak cukup gentleman katanya!

Oops!

Definisi gentleman dari sudut pandang Islam adalah seorang yang melayan manusia lain dengan penuh hormat dan tertib. Bahkan Rasulullah sendiri telah mencirikan lelaki gentleman seperti mana hadis baginda:

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya”.

Jom kita hayati beberapa contoh untuk menilai seseoarng lelaki yang benar-benar gentleman.

Bertolak ansur

Oh, saya sangat suka lelaki yang bertolak ansur. Bertolak ansur di sini bukan bererti sering mengalah. Terlalu sering mengalah kadang-kala mengundang pertanyaan samada dia benar-benar redha untuk mengalah, atau dia sebenarnya tidak tetap pendirian?

Bertolak ansur yang dimaksudkan ialah apabila dia mampu berkompromi dengan pilihan atau cadangan kita tanpa menjejaskan pilihannya. Contoh terbaik untuk satu tolak ansur yang bijak ialah seperti dalam peristiwa Pejanjian Hudaibiyah di mana Rasulullah SAW bersetuju untuk tidak menunaikan haji pada tahun pertama yang mana membuatkan kaum Musyrikin menyetujui perjanjian tersebut.

Tidaklah diketahui oleh kaum Musyrikin tersebut, bahawa percaturan pintar Rasulullah membolehkan kita semua menunaikan haji di Mekah sehingga lebih 1400 tahun lamanya!

Kemampuan untuk mengimbangi kehendak kedua-dua belah pihak menunjukkan satu bentuk kematangan yang sangat penting dalam alam rumah tangga kelak. Tanpa adanya kemahiran sebegini, akan ada pihak yang terpaksa makan hati kerana kehendaknya tidak dituruti.

Bahkan, dalam jangka masa panjang boleh menimbulkan perbalahan akibat dari ketidak puasan hati. Perhatikan, bagaimana dia bertindak semasa timbulnya percanggahan pendapat. Adakah dia bertegas dengan pendapatnya tanpa mengambil kira cadangan kita atau tanpa ragu-ragu menerima cadangan kita tanpa sebarang bantahan. Sebaiknya adalah yang mampu menggabungkan kehendak kedua-dua belah pihak tanpa ada yang terpinggir.

Kebiasaannya, sewaktu bercinta, sang jejaka mudah mengalah kepada kehendak sang gadis. Ironinya, apabila melangkah ke alam perkahwinan, si isteri pula perlu mengalah kepada si suami atas nama ‘ketaatan’. Lalu, bagaimana mahu mencipta keredhaan dalam ketaatan tersebut andai sang gadis sudah terbiasa diikutkan semua kehendaknya?

Ketahanan minat

Saya selalu berpendapat, lelaki yang matang adalah lelaki yang tidak mudah berubah. Benar, perubahan itu satu Sunnah yang dianjurkan. Namun, terlalu kerap berubah minat turut mengambarkan betapa seorang lelaki itu tidak matang atau kebudak-budakkan.

Sebagai contoh, seorang lelaki yang menggilai motosikal berkuasa besar sehingga sanggup berhabis untuk memenuhi minatnya tersebut. Namun, apabila semua sudah dilakukan dan dikorbankan, tiba-tiba lelaki tersebut berubah angin untuk memiliki sebuah kereta sport pula kerana terpengaruh dengan kawan-kawannya yang berkereta sebegitu.

Ya, tidak salah seandainya dia mampu untuk menanggung semua kos tersebut. Yang menjadi persoalan ialah, sekuat mana ketahanan dia dalam menjayakan sesuatu yang telah dia mulai? Bagaimana dia mahu memastikan minatnya tidak mudah berubah seperti angin lalu? Bagaimana untuk memastikan dia turut mampu menjaga hati dan perasaannya supaya istiqomah mencintai keluarganya?

Dari sudut perkahwinan, hal ini sangat serius kerana seringkali pihak isteri yang mengambil langkah untuk memastikan kesinambungan kebahagiaan keluarganya. Isteri berhabis wang untuk mencantikkan diri, mencuba pelbagai produk dan plan diet untuk mengembalikan bentuk badan yang cantik dan juga melakukan segala bentuk pengorbanan demi keselesaan suami.

Semuanya untuk menambat minat suami padanya. Magis, bagaimana wanita mampu berusaha mempertahankan minat sendiri di samping memastikan minat sang suami turut sama utuh. Maka, tidak keterlaluan seandainya ciri-ciri suami yang baik adalah yang turut berusaha untuk memastikan perkahwinan itu sentiasa bahagia. Konsisten bahagia. Bukan sekadar berusaha dan berjuang semasa menyunting sang gadis untuk menjadi isteri sahaja, tapi turut sama berjuang untuk kebahagiaan keluarga.

Huh, warrior sangat masa nak kawin. Genggang tangan tok imam macam tak nak lepas masa akad nikah. Lepas kawin tak sampai 5 tahun, merengek kata hambar pada isteri. Mana kesungguhn dulu untuk menerima dan melalui semuanya bersama?

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada Aku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang sat. Maka hendaklah kamu teguh di atas jalan yang betul dan lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaanNYA)” Surah Fusilat, Ayat 6

Bersukan

Bersukan sering dikaitkan dengan ‘sado’. Lelaki yang bersukan dikatakan mempunyai kesihatan yang baik dan displin diri yang tinggi. Ermm… Benarkah?

Melainkan dia adalah seorang atlit Negara yang sedang berjunag ke Olimpik, perhatikan waktu riadahnya. Adakah waktu bersukan dia sehingga mengganggu waktu ibadahnya? Main bola sampai pukul 8 malam, mungkin? Ataupun main futsal sampai lewat malam sampai esoknya subuh gajah?

Bersukan menjadikan seseorang itu cerdas akal, bukan menjadikan dirinya hamba kepada sukan tersebut. Kalau bersukan sampai hidup makin kucar kacir, adalah lebih baik kita pilih abang-abang yang badannya tak ‘sesado’ mana, tapi ‘sado’ berdiri belakang tok imam di surau.

Jangan tertipu dengan alasan bersukan untuk kesihatan, kerana seringkali ianya di salah gunkan! Rasulullah merupakan ahli perang yang hebat dan tangkas dalam beberapa aktiviti sukan seperti memanah dan menunggang kuda, namun Baginda masih tidak melupakan tugasan asas harian dan membantu isteri Baginda.

“Seseorang bertanya kepada Aisyah, “Apakah yang Rasulullah lakukan di rumah? Aisyah menjawab, “Baginda sama seperti orang lain. Beliau menjahit pakaian, memerah susu kambing dan menyiapkan keperluan diri beliau sendiri.” Direkodkan oleh Bukhari dan Tirmizi

Permakanan

Orang tua-tua cakap, lelaki yang cerewet dalam permakanan adalah cerewet dalam hal-hal lain juga. Jangan salah faham, memang ramai lelaki yang mudah dibawa berbincang walaupun tidak cerewet makannya. Jadi, perkara ini sangat subjektif kerana melibatkan dua variable yang sangat ambiguous; citarasa dan perangai.

Tapi, saya rasa perkara ini ada logiknya. Diawal-awal perkahwinan di saat sang isteri belum mahir memasak (sesetengah), suami yang tidak cerewet ini boleh memberikan sedikit ketengangan hati kepada isterinya.

Rasulullah sendiri tidak cerewet dan menyusahkan isteri Baginda. Aisyah pernah menceritakan:

“Rasulullah datang dan bertanya kepadaku, “Adakah kamu mempunyai makanan?” Aku menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda berkata, “Jika begitu, aku berpuasa”. Direkodkan oleh Tirmizi, Muslim, Abu Dawud dan Nasa’i

Kesimpulan

Kita selalu mencari bakal suami yang gentleman mengikut acuan yang dimomokkan oleh media sosial. Malangnya, kita telah mengabaikan contoh lelaki gentleman terbaik iaitu Rasulullah SAW. Kenapa perlu teruja dibuai angan-angan ciptaan sendiri yang malangnya sering memakan diri, sedangkan garis panduan yang jelas telah dianjurkan Islam sejak awal lagi.

Saya bukan anti drama di televisyen, ya. Mak dan adik-adik saya sendiri gigih tercongok depan televisyen menonton drama-drama membuaikan tersebut. Tapi persoalannya ialah, nak lelaki gentleman tapi arrogant atau lelaki gentleman tapi menghormati wanita seperti Rasulullah? Tepuk dada tanya hati!
.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Ummu Adhya'

Beliau merupakan seorang multi-tasker yang berpegang teguh dengan ideologinya tetapi mudah dibawa berbicang. Sedang cuba melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya di samping mengimbangi kehidupan sebagai seorang ibu, anak, isteri, usahawan dan juga hamba ALLAH.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami