Surah Yusuf turun pada tahun paling berat dalam perjuangan Nabi s.a.w di Mekah. Tahun tersebut dikenali sebagai “Tahun Dukacita”. Pada tahun tersebut juga Nabi s.a.w kehilangan bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri tercinta, Sayyiditina Khadijah.
Surah Yusuf diturunkan kepada Rasulullah s.a.w ketika saat baginda berduka. [Kise]
Surah Yusuf mempunyai rangkaian kisah yang indah sesuai dengan ayat:
“Kami ceritakan kepadamu kisah yang paling baik melalui pengwahyuan al-Quran ini kepadamu. Sebelum itu kamu termasuk orang-orang yang belum mengetahui.” Surah Yusuf: ayat 3
Kisah Nabi Yusuf a.s terakam di dalam surah Yusuf yang terdiri daripada 111 ayat (Makiyyah) dan merupakan surah ke -12 di dalam al-Quran. Membacanya membawa kepada perjalanan cerita kehidupan Nabi Yusuf dari kecil hingga dewasa.
Ternyata Allah s.w.t menempatkan secara tersendiri dalam surah ini di dalam al-Quran agar isi yang terkandung di dalamnya dapat diteladani, di ambil iktibarnya dan dijadikan nasihat kepada pembaca.
1. Nabi Yusuf a.s merupakan putera kepada Nabi Yaakub.
2. Ishak bin Ibrahim merupakan datuk kepada Nabi Yusuf.
3. Nabi Yusuf dilahirkan di daerah Palestin sekitar tahun 1745 Sebelum Masihi (SM)
4. Nabi Yusuf mempunyai 10 orang adik beradik. Bunyamin merupakan adiknya dari ibu yang sama.
5. Yusuf menjadi anak kesayangan Nabi Yaakub setelah kematian ibunya. Hal ini menyebabkan adik-beradik Yusuf cemburu kerana menganggpa ayah mereka memilih kasih.
6. Yusuf dibuang ke dalam sebuah telaga sebelum di temui oleh pedagang dari Madyan yang sedang menuju ke Mesir.
7. Salah seorang pedagang tersebut mahu mengambil air ke dalam telaga. Apabila dia menarik bekas air itu ke atas, terlihat seorang kanak-kanak lelaki melalui tali yang ditarik itu.
8. Yusuf dibawa ke Mesir dan dijual dengan harga yang murah. Ternyata Allah menutup pintu hati pedagang itu untuk menjual Yusuf dengan harga yang terlalu tinggi memandangkan Yusuf pada ketika itu merupakan kanak-kanak yang elok rupa parasnya.
9. Yusuf dibeli dengan harga yang murah oleh al-Aziz, iaitu gelaran bagi bangsawan bagi pembesar Mesir.
10. Yusuf di bawa pulang ke rumah al-Aziz. Ternyata kehadiran Yusuf ke istana pembesar tersebut menggembirakan hati isteri al-Aziz yang bernama Zulaikha.
11. Setelah Yusuf dewasa, ketampanannya mula terserlah sehingga Zulaikha tertarik kepadanya.
12. Nabi Yusuf a.s kerap kali menolak pelawaan Zulaikha hingga satu hari Yusuf a.s difitnah sendiri oleh Zulaikha yang mahu melepaskan dirinya. Di hadapan al-Aziz, Zulaikha menuduh Yusuf a.s cuba menggodanya.
13. Raja Mesir (al-Aziz) mengetahui Yusuf tidak menggoda isterinya dan menasihati agar Yusuf tidak tidak menyebarkan berita tersebut. Manakala al-Aziz telah meminta Zulaikha bertaubat kepada Allah atas kesalahannya.
14. Ketampanan Nabi Yusuf a. s ternyata telah menyebabkan para isteri pembesar Mesir menghiris pergelangan tangan mereka sendiri ketika diundang ke rumah Zulaikha.
15. Nabi Yusuf a.s dipenjarakan di atas kejadian tersebut walaupun ternyata beliau tidak bersalah.
16. Yusuf a.s merupakan lelaki yang bijak. Allah menganugerahkan Yusuf dengan kecekapan di dalam mengetuai kewangan negara dan kepandaiannya menafsir mimpi.
17. Ketika dimasukkan ke dalam penjara, dua orang pemuda telah menyuruh Yusuf menakwilkan mimpi mereka. Peristiwa itu terakam di dalam Surah Yusuf ayat 36.
18. Ada riwayat mengatakan dua orang pemuda itu adalah pelayan-pelayan raja. Seorang pelayan menguruskan minuman raja dan seorang lagi tukang pembuat roti.
19. Nabi Yusuf a.s diminta menafsirkan mimpi raja (ketika itu dia di dalam penjara) setelah beberapa pembesar Mesir tidak dapat menafsir mimpi raja Mesir.
20. Takwil mimpi Nabi Yusuf berdasarkan mimpi raja itu ialah;
“Supaya kamu bercucuk tanam selama tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa, maka apa yang kamu tuai, hendaklah kamu biarkan dibulirnya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian, sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit (kemarau) yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun kemarau), kecuali sedikit dari (bibit akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu, mereka memeras anggur.” Surah Yusuf: 47-49
21. Takwil mimpi raja tersebut telah menjadikan Nabi Yusuf dilantik sebagai bendahara negara Mesir.
22. Takwil mimpi raja itu akhirnya menjadi kenyataan. Penduduk Mesir akhirnya memiliki persediaan gandum yang terlalu banyak kerana mereka menyimpan gandum semasa musim subur.
23. Kebiasaan penduduk Mesir menyimpan gandum dengan membuang tangkainya. Nabi Yusuf mengubah cara penduduk Mesir iaitu dengan menyimpan gandum tanpa membuang tangkainya. Kesannya, perintah Nabi Yusuf itu ternyata berhasil apabila gandum yang disimpan bersama-sama tangkainya dapat disimpan lama.
24. Negeri Nabi Yaakub pula mengalami kesulitan kerana tiada bekalan gandum yang cukup untuk disimpan.
25. Peristiwa kemarau pada zaman Nabi Yusuf merupakan kemarau yang berpanjangan dan teruk.
26. Langkah Raja Mesir melantik Nabi Yusuf a. s sebagai bendahara Mesir merupakan langkah yang tepat. Bayangkan pula jika Nabi Yusuf tidak dilantik sebagai bendahara Mesir ketika itu, bagaimana keadaan Mesir dalam menghadapi kemarau yang berpanjangan?
27. Mata wang dinar (emas) dan dirham (perak) telah dikenali pada zaman Nabi Yusuf. Penggunaan dinar dan dirham ini boleh dilihat di dalam surah Yusuf ayat 20 iaitu ketika Yusuf dijual dengan harga yang murah.
“Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja dan mereka tidak berasa tertarik hatinya kepada Yusuf.”
28. Nabi Yusuf a.s telah membina 200 kincir air di Kota Foyyum, Mesir.
29. Kota Foyyum terletak 90 km dari bandar Kaherah.
30. Kincir air yang dibina oleh Nabi Yusuf a.s ini adalah untuk mengairi kawasan pertanian di sekitarnya dan bejaya menyelamatkan Mesir yang dilanda kemarau selama 7 tahun.
31. Nabi Yusuf berjaya mengalirkan air sungai Nil sejauh 100km ke kawasan Foyum untuk mengairi kawasan pertanian.
32. Allah telah menganugerahkan Nabi Yusuf dengan akal yang bijak, kesannya Mesir berjaya menghadapi tahun-tahun sulit kemarau selaam 7 tahun.
33. Ketika Mesir dan negeri sekitarnya berhadapan dengan musim kemarau itulah, Nabi Yusuf a.s telah bertemu semula dengan ayah dan seluruh adik-beradiknya dari Palestin.
34. Di dalam al-Quran, kisah Yusuf a.s ini diakhiri dengan permohonan Yusuf kepada Allah untuk matikan dirinya dalam keadaan Muslim. (Surah Yusuf ayat 101).
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.