Inspirasi

Kisah Jutawan Dan Sepasang Stoking Buruk

Oleh Ahmad Fadhil Bin Husin  •  30 Oct 2014  •  4 min baca

Manusia dengan harta tidak dapat dipisahkan. Apatah lagi berdasarkan suasana pada akhir zaman ini. Daripada pembesar negara, orang kaya, orang marhaen mahupun golongan gelandangan, semuanya inginkan harta yang banyak.

Siang malam membanting tulang bermandi peluh semata–mata untuk mengumpulkan harta. Halal dan haram itu tidak dikisahkan. Hanya yang beriman dan bertakwa tidak terkena dugaan ini.

Jenazah

Apabila mati, harta yang banyak juga tidak boleh bawa bersama.

Kita juga tahu bahawa harta yang dikumpul ini tidak akan dapat dibawa ke dalam kubur. Namun begitu, tidak ramai yang sedar akan hal ini. Tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza.

Jadi untuk menambah kesedaran kepada kita mengenai hal ini, ingin saya kongsikan sebuah kisah yang bertajuk ‘Kisah Jutawan Dan Sepasang Stoking Buruk’ Semoga mendapat manfaat dari kisah ini.

Kisah Jutawan Yang Menemui Ajalnya

Di dalam sebuah negeri yang makmur, terdapat seorang jutawan yang terkenal dengan banyaknya harta kekayaan. Rumahnya yang besar seperti istana, deretan kereta mewah di parkir garaj, rumah sewa tidak terkira, tanah dan lading yang berekar – ekar luasnya.

Perniagaannya sangat maju sehinggakan jika beliau berhenti berniaga pada hari ini pun, hartanya tidak akan habis untuk tiga generasi yang akan datang.

Pada suatu hari, jutawan telah dikesan oleh doktor bahawa beliau telah menghidap kanser pada tahap akhir dan dijangka tidak dapat hidup lebih lama lagi di dunia. Walaupun agak terkejut dengan berita ini jutawan ini pasrah dengan takdirnya itu dan membuat persediaan menghadapi kematian dengan tidak bertangguh lagi.

Maka pada suatu hari, jutawan ini telah mengumpulkan anak – anaknya bagi menyampaikan berita itu. Anak-anaknya terkejut dan berasa sedih dengan berita ini akan tetapi mereka reda dengan ketentuan Allah s.w.t.

Wasiat Terakhir Yang Ganjil

Pada hari-hari terakhir di dunia ini, jutawan telah membuat wasiat kepada anak sulungnya dengan satu wasiat ganjil iaitu apabila pada hari pengkebumiannya nanti, tanamkanlah dia bersama sepasang stoking buruk yang sering dipakainya untuk berjalan–jalan pada waktu petang.

Walapun wasiat itu kedengaran pelik, namun sebagai anak yang taat, anaknya itu berjanji akan menunaikan wasiat tersebut.

Ajal dan maut di tangan Allah swt, akhirnya jutawan itu meninggal dunia juga. Maka pada hari pengkebumiannya, anak sulungnya telah memakaikan ayahnya itu dengan sepasang stoking buruk sebagaimana yang telah diwasiatkan sebelum ini.

Stoking Buruk

Ayahnya mewasiatkan diabadikan bersama sepasang stoking. [Milan]

Imam yang menguruskan jenazah jutawan itu merasa terkejut dengan permintaan itu dan tidak membenarkan wasiat itu diteruskan.

Namun, anaknya berkeras juga untuk menunaikan wasiat ayahnya itu hingga terjadinya perbalahan kecil di tanah perkuburan. Jadi bagi menyelesaikan masalah itu, peguam jutawan tersebut telah dipanggil untuk memastikan adakah jutawan tersebut telah meninggalkan wasiat seperti itu.

Menurut peguam, jutawan itu telah meninggalkan suatu wasiat dalam bentuk sepucuk surat sebelum meninggal. Lantas itu surat itu dibuka dan dibaca oleh anaknya. Setelah selesai membaca surat itu, air matanya mengalir tidak tertahan lagi.

Apakah isi kandungan surat tersebut sehingga terjadi demikian?

Analogi Sepasang Stoking

“ Wahai anakku, andainya engkau membaca surat wasiat ini, ketahuilah bahawa aku telah pun pergi meninggalkan dunia yang fana ni. Maka janganlah engkau bersedih di atas kematian ku ini.

Anakku, aku berkira pasti pada saat ni engkau sedang berbalah mengenai pengurusan jenazah tentang stoking burukku? Ayah sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku anakku.

Ketahuilah anakku bahwa sepanjang hidupku, ayahmu ini sentiasa berusaha keras untuk mengumpulkan harta sehingga menjadi banyak seperti sekarang. Namun setelah ayah menghadiri satu kuliah tahulah ayah bahawa harta yang dimiliki ini tidak akan dapat dibawa ke dalam liang lahad walau satu sen pun.

Jadi lihatlah sendiri anakku kejadian pada hari ini. Jangankan wang satu sen, stoking buruk pun ayah tidak mampu membawanya bersama ke dalam kubur. Jadikanlah perisitiwa ini sebagai satu pengajaran untukmu anakku. Kumpullah harta biar berpada.

Yang penting kumpullah amalan baik supaya kita dapat membawanya ke alam yang kekal abadi nanti.

Akhir kata, engkau doakanlah kesejahteraaan ayah di alam barzakh ini supaya ayah mendapat rahmat daripada Allah s.w.t dan terlepas dari azab kubur ini.

Ayahmu. “

Pengajaran

Pengajaran yang boleh kita dapati daripada kisah ini ialah walau sebanyak mana harta yang dikumpul pun ianya masih tidak dapat dibawa sebagai bekalan di akhirat sana. Hatta sepasang stoking buruk.

Kumpullah harta di jalan yang halal dan diberkati. Iringilah usaha itu dengan amal kebajikan dan ketaatan kita kepada perintah Allah s.w.t. Semoga kita beroleh kemenangan yang abadi di akhirat nanti.

Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Ahmad Fadhil Bin Husin

Seorang yang energetik, suka membaca dan menambah ilmu setiap hari. Ketua keluarga yang sentiasa gembira. Menulis di Doulnut.com dan juga FadhilHusin.com.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami