Keluarga

17 Idea Buat Anak Seronok Di Hujung Minggu

Oleh Dalin Ali  •  10 Jul 2015  •  5 min baca

Mama vs iPad.

Pernah tak rasa cemburu dengan iPad anak kita? Bila si dia tekun menghadapnya dan kita termangu sendirian.

Sebenarnya ia bukan salah iPad atau apa jua gajet elektronik. Si dia mungkin telah banyak kali memanggil kita, cuba bercerita, tetapi kita mendengarnya sayup-sayup sahaja, seolah-olah si dia hantu Casper comel yang cuba menarik perhatian.

Menjadi ibu bapa masa kini sangat mencabar juga. Kita kekurangan masa (dan dana) namun tidak bermakna kita tidak boleh menggembirakannya. Resepi kebahagiaannya adalah, kita perlu mendengar, berusaha sedikit, dan tambahkan pelukan dan kasih-sayang yang tidak bertepi.

Buntu dengan aktiviti yang sama? Apa kata cuba 17 idea ini untuk buatkan hujung minggu kita lebih ceria bersama si comel.

1. “I love you, you love me. We are happy family”

Jika anak kita sukakan gajet, cuba rakam klip video bersamanya. Pilih lagu yang paling digemarinya dan ajak ahli keluarga lain juga. Be silly. Beritahu juga kenapa kita sayangkannya di dalam video itu. Contoh: Mama sayang awak sebab awak comel!

2. Junior Masterchef

Sediakan cupcakes, pancakes atau cookies bersama si dia. Gunakan alatan memasak yang comel dan berwarna-warni. Biar si dia hiasinya ikut imaginasi sendiri. Setelah siap, jangan lupa rakam gambar si dia bersama masterpiecenya. Bolehlah ditunjukkan pada Atuk dan Nenek di kampung nanti.

3. Ice cream day

Pilih satu hari di mana ia jadi Hari Aiskrim Sedunia. Sediakan mangkuk khas dan makan aiskrim bersama anak kita. Buat aiskrim bar mini dengan topping buah potong, wafer, sos strawberry dan cokelat. Biar si dia yang jadi chef dan cipta menu khas untuk kita.

4. Hello Nenek!

Dail nombor telefon kampung, dan biar si dia bercakap dengan Atuk dan Nenek. Minta si dia ceritakan kepada mereka perkara menarik sepanjang minggu itu. Tunjukkan gambarnya bersama Atuk dan Nenek sejak bayi dan ceritakan betapa mereka sayangkannya.

5. Cikgu Bedah & Ustaz Amirul

Main cikgu-cikgu adalah kenangan paling manis semua orang. Minta anak kita berlakon menjadi watak guru kegemarannya. Sediakan papan hitam dan susun meja belajarnya seperti kelas. Kita sekeluarga pula berlakon menjadi anak murid yang baik/ nakal/ kepoh.

6. Finding Nemo

Hati kanak-kanak sangat dekat dengan haiwan. Ajak si dia membeli haiwan peliharaan yang sesuai dengan kediaman kita. Ia mungkin kura-kura, ikan emas atau anak kucing yang kita temui di jalanan. Sediakan sangkar comel dan si dia pasti akan cium kita tak henti-henti nanti.

7. “Sayang, ingat tak gambar ni?”

Banyak gambar anak di dalam telefon dan iPad? Hantarnya ke kedai untuk dicetak. Beli scrapbook kit di Popular Bookstore atau kedai serbaneka Mr DIY. Ajar si dia bagaimana membuat album gambar handmadenya sendiri. Kenang memori gambar itu bersamanya.

8. Alice in Wonderland

Sediakan satu sudut kebun mini di rumah kita. Beli benih sayur-sayuran atau pokok siap ditanam. Tanam dan siraminya bersama si dia. Hias kebun dengan rumput plastik dan hiasan taman comel. Si dia boleh berangan di sini dan bermain dengan haiwan kesayangannya juga.

9. Hari Pengakap

Pasang khemah di ruang menonton, dan gantungkan lampu kelip bulan bintang di tepi. Tonton bersama video kegemarannya sambil makan popcorn. Layan si dia berceloteh tentang kawan-kawan dan perasaannya. Biarkan si dia tertidur di dalamnya sehingga pagi.

10. “Kakak, boleh saya pinjam buku ni?”

Bawa anak kita ke perpustakaan yang terdekat. Daftarkannya sebagai ahli. Temani si dia melewati rak buku dan duduk di sana. Biar si dia pilih buku kegemarannya dan pergi sendiri ke kaunter meminjamnya. Dengan rajin membaca, si dia akan menjadi sangat kreatif nanti.

11. Hai Cikgu!

Daftar bersama kelas baru yang anak kita minati. Ia mungkin kelas bermain gitar, berenang atau pun fotografi. Ulangkaji dan berseronok di dalam kelas bersamanya. Cabar antara satu sama lain untuk jadi yang terbaik. Si dia pasti rasa anda cool kerana memahami minatnya yang tersendiri.

12. Geng bas sekolah

Jika kita selalu menaiki kereta ke mana-mana, kali ini cuba naiki bas awam, komuter atau LRT. Rancang perjalanan kita dengan pemandangan dan hentian yang menarik. Si dia pasti seronok dapat merasai pengalaman baru dan adventurous begini.

13. Piknik

Ingat tak kecil-kecil dahulu kita selalu piknik di laut? Seronok kan! Sediakan pelampung, makanan dan berkelah di sana. Swimming pool dan themepark memang seronok, tetapi tidak boleh melawan bina istana pasir besar dan menanam diri di pasiran pantai.

14. Jom basuh kereta!

Kanak-kanak sebenarnya rajin membantu, asalkan kita tidak terlalu serius. Ajak si dia mencuci kereta dan main tembak air bersamanya. Kemas laman sambil bermain sorok-sorok. Meskipun ia mengambil masa untuk siap, mereka akan sangat gembira membantu kita lagi.

15. Video game

Kadang-kadang kita memang tidak faham kenapa anak suka bermain game. Sesekali, tawarkan diri untuk bermain. Minta si dia terangkan cara bermain dan tip-tip rahsia. Main bersungguh-sungguh dan cuba beat scorenya juga. Si dia pasti bangga kita up-to-date orangnya.

16. Main hujan

Cuaca yang panas seperti sekarang kalau hujan lebat pasti seronok kan. Asalkan tidak merbahaya, main hujan bersamanya. Nyanyi bersamanya di dalam hujan, meskipun bunyi katak bersahut-sahutan. Buat kapal kertas dan main di dalam besen air yang besar.

17. Assalamualaikum Tuk Imam!

Pakai pakaian terbaik dan jalan berpimpin tangan ke masjid untuk solat berjemaah. Beritahu si dia ini adalah tempat paling baik untuk kita datang tidak kira gembira atau pun sedih. Beri hadiah comel jika si dia berkelakuan baik di sana. Jadikan ia kenangan manis untuknya.

Sebenarnya, terdapat beribu-ribu cara untuk menggembirakan anak-anak kita. Jalan kaki ke kedai sambil bernyanyi, atau melukis bersamanya, sudah cukup menjadikan si dia sangat menyayangi kita.

Masa berlalu dengan pantas, dan si dia membesar dengan begitu cepat. Kaki kecil selebar dua jari dahulu kini sudah boleh cuba menyarung kasut tinggi kita.

Tinggalkan memori manis bersamanya, dukung si dia yang tertidur dari dalam kereta, ketawa bersama dan dengarkan ceritanya. Apa yang tinggal nanti mungkin hanyalah album gambar handmade dan ratusan kenangan manis.

Jadi, jangan lupa buat temujanji istimewa kita dengan si comel hujung minggu ini!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Dalin Ali

Seorang peguam yang jatuh cinta dengan menulis. Minimalis dan gemar belajar dari universiti kehidupan. Mencari bahagia yang pasti dengan mereka yang dikasihi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami