Inspirasi

12 Pesanan Buya Hamka Dalam Menghadapi Kehidupan

Oleh Fazli Abdullah  •  12 Aug 2020  •  4 min baca

Sebut sahaja nama Hamka pasti ramai yang mengenali beliau terutamanya di Nusantara. Karya-karya beliau yang cukup indah dan puitis menarik hati untuk terus membacanya. Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

Terdapat banyak nasihat, teguran, dan pesanan yang bermakna dalam setiap karya beliau. Di sini dihimpunkan 12 pesanan Buya Hamka yang menarik dan memberi peringatan kepada diri saya. Semoga ia juga turut mengalir dalam hati pembaca yang sedang menghadapi kehidupan dunia ini.

#1- Menghargai Jasa Orang

“Hendaklah masyarakat menghargai jasa orang yang berjasa, walaupun dia tidak minta dihargai. Kerana kalau kita wajib menghargai diri orang, nyawa orang, fikiran orang dan harta benda orang, tentu kita pun wajib pula menghormati jasa orang yang telah berbuat lebih dari wajibnya atau meneguhi wajibnya kepada masyarakat. Orang yang tidak sudi menghargai jasa orang, hanyalah musuhnya. Atau orang yang hasad dengki kepadanya. Jasa dan kepayahan orang wajib dihargai, walaupun fikirannya tidak bertuju dengan fikiran kita.” – Buya Hamka

#2- Jangan Mementingkan Diri Sendiri

“Orang yang hanya mementingkan diri sendiri tidak mengingat hubungannya dengan orang lain, adalah sebagai orang yang berjalan dengan kaki sebelah, dan sebelah lagi diangkatnya ke atas. Lama-lama dia mesti penat. Kakinya mesti berjalan keduanya, supaya hidupnya sejati hidup.” – Buya Hamka

#3- Kebaikan Juga Yang Akan Menang

“Betapa jua pun kita harus percaya, bahawa kebaikan juga yang menang. Sebab asal-usul kejahatan kita bukan jahat, hanya baik semata. Kalau kejahatan menang, hanyalah lantaran dorongan nafsu. Bila nafsu telah reda, kebaikan jualah yang kita junjung.” – Buya Hamka

#4- Cita-Cita

“Hidup mempunyai cita-cita. Atau hidup itu ialah cita-cita. Cita-citalah yang menjadikan manusia berjuang mencapai yang lebih sempurna. Manusia tidak mahu mencukupkan keadaannya yang ada sekarang sahaja. Ia bercita-cita ingin mencapai sesuatu yang lebih tinggi. Sebab itu hanyalah manusia yang sentiasa beroleh kemajuan; binatang tidak.” – Buya Hamka

#5- Bersangka Baik

“Baikkan sangka, tinggikan cita-cita, gembirakan hati, hadapi alam, itulah bekal di medan perjuangan. Alam ini diserahkan Tuhan ke tangan kita. Asal jangan hasad, dengki, benci, loba, tamak, khianat dan berdendam, semua akan bagus kita pandang. Kalau tidak persangkaan yang baik, dan manusia tidak menyerah kepada aturan yang telah direntangkan itu, rosaklah bumi dan peraturan hidup.” – Buya Hamka

#6- Mendapatkan Kebahagiaan

“Sungguh, kebahagiaan itu diperolehi di dalam perjuangan yang berterusan. Bahagia yang paling besar ialah kemenangan yang silih berganti. Dan kemenangan tidak ada, kalau tidak ada perjuangan.” – Buya Hamka

#7- Jangan Takut Gagal

“Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.” – Buya Hamka

#8- Hidup Bersyariat

“Apabila orang tidak makan dan tidak minum terhentilah dia bernafas dan lemahlah tubuhnya. Tetapi apabila orang tidak memegang syariat rosaklah akal dan budinya dan binasalah hidup yang sejati yang menjadi tujuan dari hidup bernafas.” – Buya Hamka

#9- Rugi Yang Sebenarnya

“Rugi harta benda belumlah patut disebut rugi kerana harta dapat dicari. Rugi keberanian samalah ertinya dengan separuh kerugian. Tetapi jika rugi kehormatan, jatuh martabat, dan gensi, itulah rugi yang sebenarnya.” – Buya Hamka

#10- Gunakanlah Fikiran

“Untuk hidup gunakanlah fikiran. Fikiran itulah kemudi hidup. Fikiran yang waras, ialah yang berjalan di antara akal dengan syahwat. Akal terletak di atas, syahwat(hawa) terletak di bawah dan fikiran terletak di tengah-tengah. Kalau fikiran telah condong ke bawah, renggang dari atas, alamat celaka, kalau fikiran rapat ke atas dan renggang ke bawah, alamat utama. Kecenderungannya ke atas membawa keuntungan di dalam hidup dan cenderungnya ke bawah membawa segala macam huru-hara dalam hidup.” – Buya Hamka

#11- Bahagia Mulanya Dari Dalam

“Mencari bahagia bukanlah dari luar diri, tetapi dari dalam. Kebahagiaan yang datang dari luar, kerap kali hampa, palsu.” – Buya Hamka

#12- Hidup Adalah Perjuangan!

“Hidup kita adalah pertempuran dan perjuangan belaka. Asal bernama manusia, tidak akan sunyi dari kelemahan dan kesalahan. Kalau sejak dilahirkan, sampai masuk kubur, kita terjadi dalam kesucian, bebas dari kesalahan dan kealpaan, tentu tidak layak kita jadi manusia, sebab yang demikian adalah tabiat malaikat. Kita manusia mesti merasai nikmat istirahat sesudah kerja, kelazatan menghadap Tuhan kelak di akhirat ialah sehabis bertempur dengan ranjau-ranjau hidup yang ngeri pada hari ini.” – Buya Hamka

Kesimpulan

Sesungguhnya kehidupan ini adalah fasa yang bukan biasa-biasa. Ia perlu ditempuhi dengan jiwa yang besar dan fizikal yang kuat. Setiap detik di dunia adalah bermakna dan harus diisi dengan sebaiknya.

Oleh itu, bacalah buku-buku yang ditulis Buya Hamka. Masih banyak lagi mutiara kata yang dapat diambil manfaat dan pengajaran. Dengan membaca, kita sudah membuka jendela dunia. Kita belajar pengalaman orang lain melalui tulisan mereka. Bacalah dan rebutlah kilauan berharga yang bernama ilmu. Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Falsafah Hidup oleh Hamka
2. Peribadi oleh Hamka
3. Tasawuf Moden oleh Hamka
4. Thevocket.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami