Eksklusif, Inspirasi

#100 – Sebelum Melangkah Ke Tahun Baru, Semak 5 Perkara Ini

Oleh Fizah Lee  •  31 Dec 2020  •  3 min baca

Pejam celik, pejam celik akhirnya tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya. Setiap orang pasti mempunyai pencapaian dan pandangan peribadi mereka sendiri terhadap tahun ini.

Ditambah dengan pandemik COVID-19 yang belum sembuh, pastinya kemunculan tahun baharu akan disambut dengan bukan sahaja azam baharu, namun juga norma baharu.

Tetapi sebelum anda melangkah ke tahun baru, apa kata checklist beberapa perkara ini untuk memastikan azam yang baru nanti boleh dilaksanakan dengan baik mengikut beberapa penambahbaikan yang diambil.

#1 – Berapa peratus azam 2020 terlaksana

Pasti anda ada mencatatkan azam sebelum melangkah ke tahun baru, bukan?

Jadi, apa kata buka kembali catatan tersebut dan semak apa yang telah berjaya dicapai dan yang mana masih belum dicapai.

Dengan itu, anda juga boleh menyenaraikan sebab di sebalik sesuatu azam itu boleh dicapai atau tidak. Jadi, secara tidak langsung anda boleh membaiki masalah dan kekangan yang melanda agar ia tidak akan berulang lagi di tahun hadapan.

#2 – Sudahkah anda memberi penghargaan kepada diri

Di sebalik pencapaian tersebut, adakah anda telah memberi penghargaan kepada diri sendiri?

Sama ia datang dalam bentuk lisan atau juga perbuatan, sebenarnya perkara itu sangat penting. Kalau bukan anda yang menghargai diri sendiri, siapa lagi?

“Terima kasih kerana telah berjaya bertahan” atau “tahniah untuk pencapaian ini” dan banyak lagi kata-kata semangat yang boleh diucapkan.

Ia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengekalkan motivasi dalam diri anda.

#3 – Sejauh mana anda belajar dari pengalaman

Bukan di sebalik kegagalan sahaja anda perlu mengambil iktibar, namun juga di setiap kejayaan yang ditempuh, pasti banyak pengalaman baru yang ada.

Dan pengalaman itulah yang menjadikan anda seorang manusia yang kuat untuk boleh menempuh ujian lain pula pada masa akan datang.

Tetapi, ia bergantung kepada sejauh mana anda boleh belajar daripada pengalaman tersebut dan sejauh mana juga anda berusaha mencari hikmah di setiap apa yang terjadi.

#4 – Adakah azam anda realistik

Sekarang, lihat pula untuk azam yang tidak tercapai? Mengapa? Adakah ia disebabkan sesuatu yang kurang realistik?

Bagaimana mengetahui ia realistik atau tidak? Ukur baju di badan sendiri. Hanya anda yang tahu sejauh mana kemampuan diri anda atau sejauh mana anda boleh mencapainya.

Sebagai contoh, anda berazam untuk mengumpul wang sebanyak RM500 sebulan sedangkan gaji anda hanya RM1200 sebulan dengan komitmen lain lagi yang perlu diselesaikan.

Adakah ia realistik? Ia mungkin boleh dilakukan jika anda melakukan kerja sampingan, namun jika tidak, bagaimana azam tersebut boleh tercapai?

#5 – Bagaimana hubungan anda dengan Allah

Hidup bukan sekadar bersifat keduniaan sahaja, namun lebih daripada itu.

Hidup yang seimbang ialah apabila dunia dan rohani dapat dijalankan dengan baik tanpa ada yang tertinggal.

Dalam masa anda mencari rezeki, jangan lupa untuk meminta rezeki dari Allah kerana kekayaan sebenar datangnya dari Allah

Kesimpulan

Sebelum melangkah ke tahun baharu, tidak salah untuk kita mengambil masa sejenak bagi muhasabah dan menilai sejauh mana pencapaian diri kita dan apa lagi yang boleh dicapai.

Dengan itu, kita akan menjadi manusia yang akan melangkah dengan penuh berhati-hati agar kesilapan sama tidak akan berulang lagi dan perkembangan diri boleh dicapai dengan lebih lagi.

#Menuju2021
#PE1H


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami