Gaya Hidup

10 Tip Untuk Menjadikan ‘Quran Journaling’ Bermakna

Oleh Azian Mohamed Isa  •  8 May 2020  •  3 min baca

Kebelakangan ini aktiviti catatan al-Quran atau lebih dikenali sebagai al-Quran journaling iaitu menulis kembali ayat al-Quran dengan maknanya semakin diminati oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Dengan perkembangan media sosial, aktiviti ini diperhebat dengan memuat naik setiap catatan yang bersifat tulus dan jujur, sarat dengan muhasabah dan renungan untuk diri sendiri yang boleh digunakan untuk memperbaiki diri.

Setiap catatan ditulis dengan penuh kreatif, menggunakan alat tulis berwarna-warni dan pelekat khas yang menarik, bertujuan untuk menghasilkan satu karya seni yang tidak jemu untuk diulang baca berkali-kali.

Namun, sejauh manakah aktiviti ini dapat melatih seseorang untuk memahami al-Quran dan membiaskan maknanya dalam kehidupan sehari-hari? Apakah dengan menulis kembali ayat al-Quran berserta ertinya mampu membantu meningkatkan penghayatan terhadap isi al-Quran atau sekadar mengikut trend untuk dipaparkan di Instagram?

Di sini saya kongsikan 10 tip untuk menjadikan al-Quran Journaling satu aktiviti ibadah yang bukan sahaja memberikan kepuasan dengan memahami dan merenungi maknanya, malah anda lebih akrab dan mahu berdampingan dengan al-Quran walau di mana saja anda berada. Moga-moga kita dimasukkan dalam golongan orang-orang yang berfikir tentang kebesaran al-Quran.

أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ اخْتِلاَفاً كَثِيراً

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, 4:82)

#1- Niat

Tulislah dengan niat yang tulus. Menulis dengan niat untuk mendalami al-Quran supaya dapat kekal berada di jalan yang lurus, sesuai dengan sifat al-Quran itu sendiri sebagai panduan dan pedoman hidup.

#2- Tenang

Tulislah dengan perasaan yang tenang dalam suasana yang menyenangkan. Pastikan segala kerja-kerja hakiki telah dilunaskan dan anda bebas daripada sebarang gangguan.

#3- Penuh Kesedaran Atau Mindfulness

Tulislah dengan kesedaran untuk anda mengenal diri dan mengenal Allah Maha Pencipta. Dengan al-Quran journaling, anda memperuntukkan waktu dan ruang yang Allah anugerahi untuk merenung tentang kelemahan dan kekuatan diri.

#4- Teruja

Tanamkan perasaan teruja setiap kali mahu memulakan al-Quran journaling. Keterujaan itu digambarkan seolah-olah anda sedang sakit dan mahukan penawar dengan memahami isi kandungan al-Quran. Ataupun anda dalam kegelapan dan dengan merenung makna al-Quran, anda beroleh sinar dan cahaya.

#5- Kreatif

Tulislah dengan kreatif. Gunakan pen berwarna-warni kerana warna memberikan pengaruh yang besar kepada otak. Warna biru misalnya meningkatkan imaginasi. Merah menguatkan memori dan merah jambu memberi kesan yang damai dan tenang.

#6- Fokus

Pilih satu ayat dari mana-mana surah yang mahu anda fahami dan renungi. Tuliskan semula dalam bahasa Arab dan terjemahannya. Fokus pada setiap patah perkataan dan pilih mana-mana perkataan (satu atau lebih) yang memberikan kesan kepada diri anda.

#7- Pemerhatian

Beri perhatian kepada sebab satu-satu ayat diturunkan (asbabun nuzul), kepada siapa, bila dan di mana? Tujuannya adalah untuk menambah keinginan untuk memahami ayat tersebut dan mengambil iktibar tentang turunnya ayat tersebut. Tuliskan tentang apa-apa fadhilat satu-satu ayat atau surah yang tinggi nilainya. Sebagai contoh membaca surah al-Mulk dapat memelihara diri daripada azab kubur.

8- Aplikasi

Tuliskan bagaimana ayat tersebut memberi pengajaran dan faedah kepada kehidupan anda? Adakah ayat tersebut bersifat arahan, amaran atau dorongan? Bagaimana ayat ini dapat mengubah hati, minda, peribadi, ibadah, hubungan antara manusia dan pilihan yang anda buat dalam kehidupan?

#9- Doa

Tuliskan kesyukuran kepada Allah kerana telah membuka hati anda untuk berdamping dengan al-Quran. Panjatkan doa kepadaNya agar dikurniakan kekuatan untuk mencintai al-Quran, kefahaman yang tinggi untuk memahaminya dan berubah untuk menjadi hamba yang lebih bertakwa. Tuliskan doa-doa yang berkaitan yang mengingatkan anda pada ayat ini.

#10- Berkongsi

Rangsang orang lain untuk turut berubah bersama-sama anda. Mudah-mudahan dengan perkongsian al-Quran journaling di media sosial, anda dapat menyebarkan manfaat kepada yang memerlukannya.

Semoga dengan perkongsian 10 tip ini dapat membantu anda semua untuk lebih dekat dengan Al-Quran.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami