Gaya Hidup

10 Cara Mudah Untuk Syawal Yang Meriah Dalam Musim Pandemik

Oleh Azian Mohamed Isa  •  28 May 2020  •  4 min baca

Tiada siapa yang dapat menyangka tanggal 1 Syawal 1441H, 24 Mei 2020, bakal melakar sejarah dalam peradaban manusia pada abad ke-21. Sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini mendesak manusia untuk mengubah gaya hidup secara drastik.

Amalan ‘new normal’ atau resam baharu disebabkan wabak COVID-19 membataskan sambutan Syawal di seluruh dunia. Di Malaysia, walaupun sambutan ziarah-menziarahi dibenarkan untuk 1 hari dengan SOP yang ketat, kerajaan dan KKM tidak menggalakkan amalan kunjung-mengunjungi ini diadakan. Hal ini demikian kerana selagi vaksin untuk COVID-19 masih belum ditemui, selagi itu risiko penularan wabak COVID-19 adalah sangat tinggi.

Namun, ini bukanlah alasan untuk menafikan perayaan 1 Syawal, salah satu hari kebesaran umat Islam setelah sebulan berpuasa.

Dalam bahasa Arab, perkataan ‘Eid’ itu bermaksud perayaan, hari ulang tahun atau kembali. Umat Islam dianjurkan untuk bergembira dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Mudah-mudahan, segala ibadah diterima Allah dan berpeluang untuk bertemu Ramadan pada tahun-tahun yang mendatang.

Justeru, sambutan 1 Syawal dalam musim pandemik boleh saja jadi meriah dengan 10 cara yang disyorkan di bawah.

#1- Meriahkan Rumah Dengan Takbir

Salah satu amalan yang sangat dituntut apabila datangnya Syawal ialah bertakbir memuji kebesaran Allah, tanda kesyukuran dan kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Takbir hari raya bermula pada waktu Maghrib (pada hari terakhir Ramadan) sehingga Hari Raya Aidilfitri. Ad-Dar Qutni menceritakan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar pada hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

Lafaz takbir yang disunatkan ialah:

(اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْد(3 كالي

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرةً وَأَصِيلاً، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ
الأَحْزَابَ وَحْدَهُ،لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

#2- Mandi Sunat Hari Raya

Mandi dan membersihkan diri (dengan niat untuk mandi sunat Hari Raya Aidilfitri) pada hari raya merupakan amalan sunnah.

Lafaz niat: “Sahaja aku mandi sunat Hari Raya Aidilfitri kerana Allah Ta’ala.”

Al-Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama telah bersepakat hukumnya adalah sunat.

#3- Sarungkan Pakaian Yang Bagus Dan Terbaik

Baju raya bukan semestinya mahal dan yang baharu, tetapi disunatkan untuk menyarung pakaian yang bagus dan terbaik.

Daripada Jabir bin Nufair ra berkata:

“Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibnu Khuzaimah)

Disunatkan juga untuk mencukur bulu-bulu pada tubuh, berhias dan berwangi-wangian.

#4- Solat Sunat Aidilfitri Di Rumah

Hukum mengerjakan solat sunat hari raya adalah sunat muakkad.

Solat sunat hari raya adalah sama dari segi rukun dan syarat solat fardu, kecuali perkara sunat yang ditambahkan, iaitu bertakbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua disertai dengan tasbih pada tiap-tiap takbir.

Solat boleh disertakan tanpa khutbah raya. Ia adalah sah kerana hukumnya adalah sunat.

#5- Menikmati Juadah Raya

Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar, dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.”

Jika tamar kehabisan, boleh saja menikmati juadah raya yang telah disediakan.

#6- Bermaaf-maafan

Amalan yang sudah menjadi tradisi sewaktu Hari Raya Aidilfitri adalah bermaaf-maafan. Tidak hairanlah ucapan ‘Maaf Zahir dan Batin’ akan dilazimi oleh setiap daripada kita yang menyambutnya. Ucapan maaf membuktikan betapa nilai persaudaraan dan persahabatan lebih tinggi mengatasi ego sendiri.

#7- Duit Raya Secara Dalam Talian

Dalam keterbatasan untuk berkumpul bersama-sama sanak-saudara tercinta, amalan ‘duit raya’ masih boleh diteruskan. Dengan kemudahan perbankan secara dalam talian, sumbangan duit raya boleh diberikan kepada keluarga tersayang.

Boleh juga diwakilkan pada si penerima untuk memberikan wang kiriman kepada anak-anak saudara dalam sampul raya. Yang penting tradisi bersedekah diteruskan tanpa kekangan.

#8- Rakam Gambar Kenangan

Dengan perkembangan internet dan media sosial, masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan bersama-sama keluarga tercinta dan membuat hantaran dalam akaun media sosial. Pelbagai aksi dan latar dipilih, sesuai dengan kreativiti dan keharmonian sesebuah keluarga. Yang penting adab dan sopan dipelihara.

#9- Video call/Zoom/Google Meet Dengan Yang Tersayang

Berkumpul dan berhimpun dalam ruangan maya menerusi aplikasi zoom, panggilan video atau Google Meet merupakan satu lagi resam baharu.

Jarak bukan lagi menjadi pemisah. Berhubung terus dengan yang tersayang dan melihat mereka di depan mata merupakan detik yang membahagiakan walaupun secara maya. Kemeriahannya dapat dirasai dan merentasi dua atau tiga generasi keluarga.

#10- Lagu Raya

Di waktu-waktu perayaan sebegini adalah sangat sesuai untuk mengalunkan muzik dan lagu-lagu yang sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri. Pilihan lagu boleh diambil daripada genre klasik, pop dan nasyid. Kesemuanya memberi kesan yang ceria dan menghiburkan. Namun, jangan sampai melalaikan.

Begitulah 10 cara yang mudah yang boleh anda lakukan untuk memeriahkan Syawal dalam musim pandemik. Salam Aidilfitri dan maaf zahir dan batin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami