Remaja

1 Orang Yang Lebih Disukai Daripada 100 Instafamous

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  16 Jan 2018  •  5 min baca

“Mengapa ada Instafamous yang tak berapa disukai apabila mereka berada di luar?”

Jun diselimuti keraguan yang teramat. Otaknya ligat mencari jawapan. Kemudian, muncul sebuah mentol yang menyala terang-benderang. Mentol itu bagaikan terpacak di atas kepala seorang kawan kepada Jun.

Kawan Jun umpama sedang memendam sesuatu. Namun ternyata dia tidak mahu meluahkan jawapannya kerana khuatir sekiranya mesej yang ingin disampaikan tidak tersebar kepada semua pemilik akaun Instagram di dunia.

Lalu dia menaip laju di komputer ribanya bagaikan sedang menghadapi pertarungan menaip dengan pantas. Jun senyap. Dia masih tertanya-tanya dan aneh dengan sahabatnya itu.

Jun turut membaca segala-gala patah perkataan yang muncul pada skrin laptop. Sepatah demi sepatah ayat cuba dihadam dengan baik.

Rupa bukan segala-galanya. Rupa paras hanya akan dinilai di dunia. Sebaliknya, tingkah laku yang dinilai di dunia dan akhirat. Ini lebih menguntungkan. Betul?

Mengapa perlu berasa tergugat dengan Instafamous yang bersepah-sepah di dunia maya sedangkan kita memiliki diri sendiri yang entah disukai ataupun tidak.

Sesungguhnya, pandangan Allah S.W.T terhadap kita adalah lebih penting daripada pandangan manusia. Maka, kita patut fokus kepada diri sendiri dahulu.

Justeru, mungkin kita ialah antara satu orang yang lebih disukai daripada 100 Instafamous mahupun berjuta-juta sekalipun.

Tapi bagaimana untuk menjadi 1 orang yang lebih disukai itu? Mudah sekali. Begini caranya;

#1 – Tidak Membandingkan Diri Sendiri Dengan Orang Lain Secara Berlebihan

Sebaik sahaja kita scroll Instagram dan lihat orang lain, jangan membandingkan diri kita dengan mereka lebih-lebih.

Di samping itu, kebanyakan gambar yang kita lihat di Instagram, ramai yang menggunakan filter dan sesetengahnya bukan menggunakan gambar mereka sendiri.

Oleh itu, usah membeza-bezakan kita dengan mereka. Yakinlah dengan kecantikan dan kesempurnaan yang ada pada diri sendiri.

Selain itu, tidak perlu sesekali berkeinginan untuk mengubah diri sendiri untuk kelihatan seperti mereka.

Namun sekiranya kita mengubah diri kita ke arah yang lebih baik seperti menutup aurat dengan sempurna, ya! Keinginan itu semestinya ditimbulkan.

Malahan, perlu diingat bahawa hidup ini bukanlah pertandingan tetapi suatu perjalanan. Diri kita sendiri yang menentukan arah perjalanan. Ini termasuklah apa-apa yang kita mahukan dan jalan mana yang kita mahukan.

#2 – Fokus Kebahagiaan Diri Sendiri

Kebahagiaan diri sendiri adalah paling mustahak. Tidak perlu menghabiskan masa untuk melihat para Instafamous yang sentiasa nampak jelita dan mewah.

Daripada cemburu atau berkenan dengan cara mereka outfit of the day (OOTD), senyuman yang manis, ada suami kacak, lebih baik berfikir tentang diri sendiri.

“Bahagia ataupun tidak diri kita ini?”

Maka adalah lebih baik untuk memberikan perhatian yang lebih kepada hal-hal signifikan di dalam kehidupan. Sesungguhnya, kecantikan akan pudar manakala kesungguhan dan kejayaan akan berkekalan serta jauh lebih penting. Hal ini termasuklah kejayaan di dunia mahupun akhirat.

Anggaplah bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk memungut hasil di akhirat kelak. Segala tugas kita di dunia ini sebaik-baiknya disalurkan kepada kepentingan akhirat.

Apabila kita bertakwa dan segala amalan diterima Allah S.W.T, itu yang dimaksudkan dengan kebahagiaan yang sebenar. Allah S.W.T berfirman;

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” Surah al-An’am:32

#3 – Bersyukur

Kita hidup dalam kehidupan digital, di mana manusia menggunakan Photoshop, berlapis-lapis filters untuk mencantikkan lagi wajah pada gambar mereka. Tambah pula, kita disajikan dengan foto yang tampak mewah; orang-orang kaya yang mempamerkan kebahagiaan mereka di Instagram.

Sekiranya kita sering melihat ke atas dalam urusan dunia, kita berasa terus berada di bawah. Jika lihat orang kaya, kita terasa miskin. Jika lihat orang yang cantik pula, kita merasakan diri kita buruk. Akhirnya, jadilah insan yang tidak bersyukur.

Namun apabila kita membiasakan diri untuk melihat mereka yang ditimpa kemiskinan, kesakitan serta kepayahan, tentu kita akan bersyukur dengan apa-apa yang telah Allah S.W.T kurniakan kepada kita. Rasulullah S.A.W pernah bersabda;

”Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.” Hadis Riwayat Bukhari

Kaya hati bermakna hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki iaitu bersyukur dengan apa-apa yang ada dan menerima apa-apa yang tiada.

P/s: Jangan tunggu bahagia untuk bersyukur. Tetapi bersyukurlah agar hidup terasa bahagia.

#4 – Ada Masa Untuk Diri Sendiri

Ada dalam kalangan kita yang terlalu lalai dengan teknologi zaman sekarang sehingga terlupa tentang diri sendiri.

Masa yang dahulunya banyak digunakan untuk perkara lebih berfaedah sudah pun pupus. Jadi, ke mana perginya masa untuk diri sendiri?

Ya, kita punyai masa tetapi terpulang kepada diri sendiri untuk membahagikannya untuk diri sendiri. Lebih-lebih lagi, kita menggunakan masa itu sebagai masa untuk muhasabah diri.

Muhasabah itu bererti menilai dan memperelokkan akhlak di dunia ini. Pesan Saidina Umar al-Khattab;

Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.

#5 – Berfikiran Positif

Minda manusia sentiasa berubah-ubah. Namun jika kita sentiasa berfikiran positif, kita mampu melaksanakan tindakan yang positif. Jadi, bagaimana untuk memastikan minda kekal positif?

#1- Ingat Allah agar kita diberikan kekuatan
#2- Gantikan persoalan negatif kepada positif (Contoh: Mengapa aku tak rajin macam dia? kepada Bagaimana nak jadi rajin?)

Oleh yang demikian, kita harus yakin bahawa segala ketentuan Allah S.W.T adalah yang terbaik. Kita sepatutnya berfikir positif terhadap ketentuan Allah S.W.T.

Hal ini kerana, boleh jadi apa yang menurut kita baik, sebenarnya tidak baik bagi kita. Sebaliknya, boleh jadi apa yang kita rasakan tidak baik, sebenarnya baik bagi kita. Allah S.W.T berfirman;

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah al-Baqarah :216

Noktah yang disangkakan terakhir bagi Jun telah membuatkan semangatnya seperti dicas seratus peratus. Setelah itu, Jun tetap meneruskan bacaannya apabila melihat rakannya itu menaip lagi.

Yang menulis dengan penuh rasa cinta. Seseorang yang juga ingin lebih disukai daripada 100 instafamous.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami