Inspirasi

1 Hari Di Akhirat Sama Dengan 1000 Tahun Di Dunia?

Oleh Natirah Azira  •  13 Aug 2020  •  3 min baca

Pernahkah anda mendengar bahawa perbandingan hari di akhirat dan di dunia adalah ribuan ganda bezanya. Bayangkan 1 hari di akhirat adalah bersamaan 1000 tahun di dunia! Bukan 1000 hari tetapi 1000 tahun!

Hal ini bukan rekaan tetapi terabadi dalam Surah Al-Hajj, pada ayat 47. Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya sehari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.” (Surah Al-Hajj 22:47)

Maka jika kita telah hidup selama 30 tahun di dunia, bayangkan masa di akhirat baru hanya berapa minit.

Bayangkan bagaimana proses menunggu dalam lautan manusia sebelum dihisab. Kemudian perlu melalui titian sirat, berhujah pula di Qanthoroh atas kesilapan yang masih tidak selesai dengan manusia. Kemudian barulah ditentukan boleh masuk ke syurga atau tidak.

Pendek kata, jika kita sudah merasakan kehidapan di dunia ini lama, maka kehidupan di sana beribu kali lebih lama. Itu belum dikira jika kita dimasukkan ke neraka, bayangkan tempoh untuk menjalani hukuman yang terlalu lama.

Kenal Pasti Apa Yang Melekakan

Sesungguhnya kita hanya tinggal di dunia sekejap sahaja. Allah berkata jika kita benar-benar tahu hakikat ini pasti kita akan bersiap sedia dan tidak terleka dengan kehidupan dunia.

Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). (Surah Al-Mukminun 23:114)

Justeru, bagaimana untuk tidak terleka dengan kehidupan dunia?

Caranya adalah dengan mengenal pasti terlebih dahulu apa yang melekakan kita, kerana apa yang membuat orang tertarik adalah tidak sama.

Ada orang yang sangat suka makan. Setiap makanan viral akan dicuba, malah sehingga ke tahap membazir dan terlalu bermewah-mewah. Tetapi dia bukan seorang yang suka menghias diri.

Ada pula orang yang sukakan perhiasan diri yang cantik – tudung, baju, beg dan kasut yang mahal. Setiap bulan, ada sahaja barang yang akan dibeli sehingga boleh mencecah ribuan ringgit, namun dalam masa sama dia seorang pemurah.

Ada pula yang suka mengumpul wang. Apa jua cara yang membolehkan dia mendapat wang lebih banyak, maka itulah yang akan dilakukan tanpa mengambil kira halal dan haram.

Apa yang telah digariskan haram dan tidak dibenarkan memang kita sedia tahu perlu dijauhi. Tetapi apa yang melekakan kita kadang-kadang bukanlah perkara dosa pada asalnya.

Tidak cukup untuk kita katakan, “Oh aku dah pemurah, jadi aku boleh membazir pada benda lain”.

Kebaikan dalam satu perkara tidak membenarkan kita melakukan sewenang-wenangnya dalam perkara lain. Hal yang melekakan adalah yang membuatkan kita terlupa daripada tujuan sebenar berada di dunia. Bahkan ia boleh jadi bukanlah perkara material seperti yang disebutkan di atas. Ia boleh jadi orang yang kita sayang, keselesaan hidup dan lain-lain.

Mengambil Dunia Secara Berpada-pada

Maka orang yang tidak terleka akan mengambil dunia ini secara berpada-pada.

Jangan pula keliru, berpada-pada di sini bukan bermaksud kais pagi makan pagi, cukup makan sahaja, tetapi mengambil dunia dalam keadaan tidak terleka.

Ada orang yang kuat hati dan tidak tergoda sekalipun mempunyai harta yang banyak. Dia tetap rendah hati dan pemurah pemula kepada orang lain. Kekayaan tidak mengubah dia menjadi seorang yang kikir dan sombong.

Dia tahu hakikat harta hanya untuk digunakan di dunia. Jika baik cara dia menggunakannya, maka baik juga balasan daripada Allah yang akan diperoleh. Jika buruk, maka harta itu sendiri menjadi bala buat dirinya kelak.

Jika kita telah kenal diri sendiri dan apa yang boleh membuat kita lemah, InsyaAllah akan lebih mudah untuk kita menilai dan mengatur langkah untuk bersederhana selepas ini.

Ketahuilah bahawa ujian ke atas diri setiap orang berbeza-beza. Kita bukan tidak boleh menikmati apa yang telah Allah sediakan di dunia ini. Tetapi kita perlu sentiasa sedar bahawa hidup kita bukan sekadar di sini.

Rujukan:

  1. Satu Hari Akhirat – 1000 Tahun Dunia 
  2. Rumaysho.com

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami